Kerajaan majukan industri getah: Dompok

KENINGAU: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata bahawa lebih kurang 74,470 hektar keluasan tanah di Sabah yang ditanam dengan getah atau hampir enam peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman getah negara.

Katanya, sejumlah 63,000 tan pengeluaran getah Sabah pada tahun lalu oleh pekebun kecil dengan nilai kira-kira RM427 juta.

“Manakala pada 2007 pengeluaran getah oleh pekebun kecil adalah berjumlah 66,930 tan dengan nilai kira-kira RM388 juta,” katanya semasa berucap merasmikan program Dialog Bersama pekebun kecil dan Seminar Pekebun Kecil Getah Sabah di dewan SM Ken Hwa di sini.

Dompok berkata, ini juga bererti harga purata getah (dengan 100 peratus Kandungan Getah Kering atau KGK) tahun lalu hampir RM6.80 sekilogram manakala pada 2007 ialah RM5.80 sekilogram.

Menurut beliau, sehingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi menggalakkan pekebun kecil mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada penanaman getah.

“Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui agensi seperti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan LGM yang telah memperkenalkan teknologi pemprosesan menggunakan Pusat Pemprosesan Getah Bersepadu (GPC) dapat mengatasi masalah kualiti getah rendah dan tercemar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berharap usaha ini dapat meningkatkan kualiti getah dan seterusnya menambahkan pendapatan pekebun kecil.

Dompok berkata dalam tempoh 18 tahun yang lalu iaitu sejak Rancangan Malaysia Keenam hingga tahun ini, LIGS telah membina sebanyak 260 buah GPC untuk pekebun kecil di negeri ini.

Katanya, atas usaha itu, LIGS berjaya membantu para pekebun kecil dengan menghasilkan getah yang berkualiti tinggi dan boleh dijual dengan harga yang lebih baik.

Menurut beliau, sejak 2001 hingga tahun ini, LGM giat menyediakan sebanyak 55 buah GPC baru di 51 buah Kampong di negeri ini untuk membantu 555 pekebun kecil menghasilkan getah yang lebih berkualiti tinggi.

“Pada tahun ini, sebanyak 15 GPC baru sedang dibina di negeri ini dan semua usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti getah, produktiviti kebun dan seterusnya taraf pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Dompok mengingatkan pekebun kecil bahawa LGM boleh membantu meningkatkan produktiviti kebun dengan menggalakkan pembiakbakaan dan penanaman klon-klon baru yang boleh menghasilkan lateks yang banyak dan kayu getah yang berkualiti.

Katanya, klon-klon ini dikenali sebagai klon lateks –balak atau Latex Timber Clone (LTC).

Beliau memberitahu, klon-klon lateks balak berpotensi menghasilkan lateks sehingga melebihi 2,000 kilogram sehektar setahun serta mampu menghasilkan jumlah isipadu kayu getah melebihi satu meter padu sepokok dalam tempoh 15 tahun sahaja.

Di samping itu, katanya, klon-klon baru ini juga boleh dibuka toreh dalam tempoh yang singkat iaitu empat setengah hingga lima tahun jika pekebun kecil mengikuti amalan agronomi yang betul seperti nasihat dari LGM dan pokok getah ditanam di kawasan yang sesuai.

“Matlamat industri getah untuk mencapai pengeluaran getah asli sebanyak sekurang-kurangnya 1.2 juta metric tan setahun masih boleh dicapai walaupun dengan keluasan tanaman yang semakin berkurangan,” katanya.

Dengan penggunaan teknologi Sistem Torehan Berintensiti Rendah (LITS) secara menyeluruh di Malaysia, beliau yakin teknologi ini mampu meningkatkan produktiviti kebun getah di antara 1,500 hingga 2,000 kilogram sehektar setahun.

“Torehan getah secara konvensional tidak lagi sesuai diamalkan dalam situasi di mana kita menghadapi masalah kekurangan penoreh,” katanya.

Menurut beliau, untuk menangani masalah ini, LGM menyediakan teknologi penghasilan lateks melalui LITS yang dapat meningkatkan produktiviti getah.

Beliau yakin dengan penggunaan LITS dapat membantu pekebun kecil meningkatkan hasil pendapatan mereka dalam situasi harga getah yang semakin stabil sekarang.

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 3 November, 2010.
http://www.alugueldeimpressoras.org