Kenyataan Akhbar LIGS berkenaan Harga Getah

TARIKH: 10 FEBRUARI 2014

Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, bersimpati dengan para pekebun kecil getah di negeri Sabah dan juga di seluruh Malaysia, berikutan harga getah yang rendah hari ini. Harga getah SMR 20 yang merupakan harga tanda aras (benchmark) getah antarabangsa, telah menurun daripada RM13, 483 bagi setiap tan metrik pada tahun 2011, kepada RM9 , 525 per tan metrik pada tahun 2012 dan telah berterusan menurun kepada RM6, 200 bagi setiap tan metrik hari ini. Sebab utama kejatuhan harga getah dari bulan November 2013 hingga hari ini adalah disebabkan stok getah tergantung (overhanging stock) daripada 523,000 tan metrik pada pasaran antarabangsa. Pengeluaran getah dunia pada tahun 2013 adalah 11.518 juta tan metrik dan penggunaan global hanya 10.995 juta tan metrik. Oleh kerana simpanan getah yang berlebihan di pasaran antarabangsa, harga getah telah menjunam disebabkan oleh bekalan dan permintaan.

Kenyataan tersebut berkata, ekonomi Amerika Syarikat adalah dalam pemulihan perlahan, ekonomi Eropah masih terhenti dan industri pembuatan di China mempunyai pertumbuhan yang lebih rendah. Ini telah menyebabkan permintaan yang lebih rendah untuk getah dengan pengeluaran yang lebih tinggi di negara-negara pengeluar. Daripada lima (5) pengeluar getah utama pada tahun 2013, Thailand menghasilkan 3.9 juta tan metrik getah diikuti oleh Indonesia pada 2.8 juta tan metrik. India menghasilkan 888,000 tan, metrik diikuti oleh Vietnam pada 854,000 tan metrik. Malaysia yang merupakan pengeluar kelima terbesar getah asli menghasilkan 845,000 tan metrik .

Berkenaan kenyataan harga getah mentah tersebut, harga minimum yang dibayar bagi getah mentah kepada pekebun kecil bagi kentalan di Semenanjung Malaysia adalah RM2.00/kg, Sarawak pada RM2.00/kg, dan Sabah RM2.10/kg pada Isnin 10 Februari, 2014. Harga purata lateks di Semenanjung Malaysia adalah RM5.80/kg manakala harga di Sabah adalah RM6.10 per/kg.

Dalam keadaan pasaran semasa ini, para pekebun kecil Sabah digalakkan untuk menghasilkan hanya kentalan bersih supaya kualiti getah dari Sabah akan mendapat daya saing tinggi di pasaran antarabangsa walaupun dalam pasaran yang tertekan. Mengenai persoalan bilakah harga getah akan naik, LIGS berkata bahawa ianya bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia dan pengurangan stok tergantung di pasaran dunia, kenyataan tersebut membuat kesimpulan.

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 11 Februari, 2014.
http://www.alugueldeimpressoras.org