LIGS Bayar Baki Pinjaman Akhir RM25 Juta Kepada Sabah Development Bank

Berita Semasa:

LIGS Bayar Baki Pinjaman Akhir RM25 Juta Kepada Sabah Development Bank

KOTA KINABALU, 9 Ogos 2016– Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hari ini membayar balik baki pinjaman akhir sejumlah RM25 juta kepada Sabah Development Bank sekali gus melangsaikan pinjaman sebanyak RM75 juta yang dibuat pada 2011.

Cek pembayaran balik itu diserahkan oleh Pengurus Besar LIGS Datuk Harris Mathews kepada Ketua Bahagian Perbankan SDB Edward T. S. Yong dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan cek itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman merangkap Menteri Kewangan negeri. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin selaku Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Bercakap kepada pemberita, Yahya berkata LIGS membuat pinjaman sebanyak RM75 juta pada 2011 berikutan ia mengalami masalah kewangan dan kerajaan negeri telah memberi pinjaman sebagai dana pusingan untuk membantunya mengatasi masalah yang dihadapi ketika itu.

“Bagaimanapun, LIGS telah memperbaiki keadaan dan memperoleh keuntungan. LIGS juga telah membayar sebahagian besar daripada pinjaman itu. Pada hari ini, LIGS membayar baki terakhir iaitu RM25 juta sekali gus melangsaikan pinjaman mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya juga mengingatkan semua agensi kerajaan negeri agar membayar balik pinjaman mereka kepada kerajaan negeri jika memperoleh keuntungan serta berkemampuan untuk membayar pinjaman atau dividen.

“Ini kerana kerajaan negeri memerlukan dana untuk membangunkan negeri dan rakyat khususnya di luar bandar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yahya berkata pihaknya telah membayar lebih RM2 juta kepada pengusaha dan pekebun kecil getah di Sabah menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada bulan lepas.

Sumber– BERNAMA

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 15 Jun, 2017.
http://www.alugueldeimpressoras.org