Mengapa Harga Getah Jatuh?

Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bersimpati dengan para pekebun kecil getah di negeri Sabah dan juga di seluruh Malaysia, berikutan harga getah yang rendah hari ini. Harga getah SMR 20 yang merupakan harga tanda aras (benchmark) getah antarabangsa, telah menurun daripada RM13, 483 bagi setiap tan metrik pada tahun 2011, kepada RM9,525 per tan metrik pada tahun 2012 dan telah berterusan menurun kepada RM5,475 bagi setiap tan metrik sekarang. Sebab utama kejatuhan harga getah dari bulan November 2013 hingga hari ini adalah disebabkan stok getah tergantung (overhanging stock) daripada 523,000 tan metrik pada pasaran antarabangsa. Pengeluaran getah dunia pada tahun 2013 adalah 11.518 juta tan metrik dan penggunaan global hanya 10.995 juta tan metrik. Oleh kerana simpanan getah yang berlebihan di pasaran antarabangsa, harga getah telah menjunam disebabkan oleh bekalan dan permintaan.
Ekonomi Amerika Syarikat adalah dalam pemulihan perlahan, ekonomi Eropah masih terhenti dan industri pembuatan di China mempunyai pertumbuhan yang lebih rendah. Ini telah menyebabkan permintaan yang lebih rendah untuk getah dengan pengeluaran yang lebih tinggi di negara-negara pengeluar. Daripada lima (5) pengeluar getah utama pada tahun 2013, Thailand menghasilkan 3.9 juta tan metrik getah diikuti oleh Indonesia pada 2.8 juta tan metrik. India menghasilkan 888,000 tan, metrik diikuti oleh Vietnam pada 854,000 tan metrik. Malaysia yang merupakan pengeluar kelima terbesar getah asli menghasilkan 845,000 tan metrik .
Kejatuhan harga getah tidak ada kaitan dengan pemberian BR1M atau kehilangan pesawat MH370. Harga getah dipengaruhi terutamanya oleh permintaan dan pembekalannya. Pada masa ini, bekalan getah adalah lebih daripada permintaan, maka harganya jatuh. Harga getah dipasaran antarabangsa adalah diluar kawalan kerajaan.
Kejatuhan harga getah tidak hanya berlaku di Sabah atau di Semenanjung tetapi di semua negara pengeluar getah seperti Thailand, Indonesia, India dan Vietnam.
Walaubagaimana pun, dengan pembayaran insentif pengeluaran getah oleh Kerajaan negeri Sabah, harga getah yang dibayar kepada para pekebun kecil getah di Sabah adalah sama bahkan kadang-kadang lebih tinggi daripada yang di Semenanjung. Contohnya, harga minimum yang dibayar bagi getah mentah kepada pekebun kecil bagi kentalan di Semenanjung Malaysia adalah RM1.80/kg, di Sarawak pada RM1.50/kg, dan Sabah RM1.85/kg pada Jumaat 23 Mei, 2014. Harga purata lateks di Semenanjung Malaysia adalah RM5.17/kg manakala harga di Sabah adalah RM5.70 /kg.
Dalam keadaan pasaran semasa ini, para pekebun kecil Sabah digalakkan untuk menghasilkan hanya kentalan bersih supaya kualiti getah dari Sabah akan mendapat daya saing tinggi di pasaran antarabangsa walaupun dalam pasaran yang tertekan. Persoalan bilakah harga getah akan naik adalah bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia dan pengurangan stok tergantung di pasaran dunia..

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 10 Jun, 2014.
http://www.alugueldeimpressoras.org