Kerajaan Negeri Sabah Ambil Langkah Tangani Kejatuhan Harga Getah

TUARAN, 18 Julai (Bernama) — Kerajaan negeri Sabah akan membincangkan langkah terperinci bagi membantu pekebun kecil, selain inisiatif Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah bagi menangani situasi kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin berkata kejatuhan harga getah ini bersifat sejagat dan tiada ada sebarang kaitan dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mahu pun kehilangan pesawat penerbangan Malaysia, MH370.

“Hakikat sebenarnya ialah harga getah dipengaruhi oleh bekalan dan permintaan getah sedunia.

“Kejatuhan harga getah tidak hanya berlaku di Sabah atau pun di Semenanjung Malaysia sahaja, malah berlaku di semua negara pengeluar getah utama dunia seperti Thailand, Indonesia, India dan Vietnam,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah, di sini Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 323 penoreh getah menerima bantuan khas itu.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata Malaysia merupakan pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia, dengan menghasilkan sebanyak 845,000 tan metrik getah setahun.

“Pada masa ini, bekalan getah melebihi permintaan dan menyumbang kepada penurunan ketara harga getah, manakala harga getah di pasaran antarabangsa pula adalah di luar kawalan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 27,607 pekebun kecil di Sabah berdaftar dengan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), melibatkan kawasan seluas 77,737 hektar.

Beliau berkata seramai 2,042 pekebun kecil berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan kesemuanya telah dibayar bantuan berjumlah RM 1,021,000, setakat 3 Julai lepas.

“LIGS dan RISDA sedang giat bekerjasama memberikan maklumat mengenai bantuan ini, mengedarkan borang sambil membantu mendaftarkan para pekebun kecil dan para penoreh di seluruh negeri.

Mereka yang layak akan mendapat bantuan tersebut melalui RISDA. Proses pendaftaran dan pengesahan ini akan terus dijalankan sehingga semua yang layak menerimanya,” katanya.

Menurutnya sejak Ogos 2012, kerajaan negeri masih lagi meneruskan pembayaran Insentif Pengeluaran Getah sebanyak 50 sen bagi setiap kilogram getah kering yang dikeluarkan oleh pekebun kecil getah di Sabah.

Beliau berkata skim insentif itu bagi menggalakkan pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian yang baik untuk meningkatkan lagi hasil getah dan menyamakan harganya antara Sabah dan Semenanjung.

— BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=1054501

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 31 Julai, 2014.
http://www.alugueldeimpressoras.org