LIGS Dan Tiga Anak Syarikatnya Tandatangani Ikrar Integriti Korporat

KOTA KINABALU, 5 Mei 2016 — Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan tiga anak syarikatnya menjadi agensi pertama menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di Sabah tahun ini, bagi menzahirkan komitmen membanteras rasuah.

Tiga anak syarikat LIGS yang menandatangani CIP itu ialah Tuaran Crumb Sdn Bhd, Tenom Crumb Sdn Bhd dan Beaufort Specialty Rubber Sdn Bhd.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap berkata CIP diperkenalkan kerana usaha pencegahan rasuah tidak terhenti diperingkat awam sahaja, bahkan turut diperkembangkan di peringkat agensi kerajaan dan swasta.

“Sehingga hari ini, sebanyak 22 organisasi telah menandatangani CIP di Sabah, termasuk LIGS dan tiga anak syarikatnya itu, serta 909 organisasi di seluruh negara memandangkan usaha memerangi rasuah memerlukan komitmen jitu dan berterusan daripada semua pihak termasuk warga korport.

“Elemen pencegahan rasuah itu memerlukan komitmen yang berpanjangan dan melibatkan semua pihak yang berkepentingan dengan ikrar yang telah ditandatangani, mesti diterjemahkan berdasarkan lima prinsip anti-Rasuah, termasuk integriti, ketulusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus korporat yang mantap,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Pada majlis, Shaharom Nizam dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Yahya Hussin menyaksikan Pengurus Besar LIGS Datuk Harris Mathews, Pengurus Kilang Beaufort Specialty Rubber Sdn Bhd Tan Ket Sing, Pengurus Kilang Tuaran Crumb Sdn Bhd Soh Kian Soon, dan Pengurus Kilang Tenom Crumb Sdn Bhd K.Chandran, menandatangani ikrar berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi LIGS Datuk Rubin Balang berkata inisiatif menandatangani CIP membuktikan LIGS sangat komited dalam menggalakkan nilai integriti dalam mengurus dan membangunkan industri getah di Sabah.

“Dengan menandatangani CIP, LIGS serta anak-anak syarikatnya komited untuk menjalankan semua urusan dan operasi dengan bersih, cekap, amanah serta penuh bertanggungjawab.

“Oleh itu kita berikrar agar perolehan tahunan LIGS tahun ini sebanyak RM370.95 juta, digunakan sepenuhnya bagi tujuan sebenar berpandukankan urus tadbir yang telus tanpa sebarang rasuah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap lebih banyak lagi agensi kerajaan dan swasta di negeri ini akan menandatangani CIP.

“Saya mengucapkan syabas terhadap LIGS dan tiga anak syarikatnya dan berharap mereka akan mengamalkan prinsip anti-Rasuah yang ditetapkan SPRM agar ruang berlakunya rasuah boleh dihapuskan,” katanya.

Sumber– BERNAMA

Maklumat dalam laman ini telah dikemaskini pada 9 Mei, 2016.
http://www.alugueldeimpressoras.org